Selasa, 9 Ogos 2011

UMNO KENAPA TAKUT SANGAT DENGAN NEGARA KEBAJIKAN


SEBULAN sudah berlalu Muktamar PAS Pusat ke-57. Selepas berakhir muktamar, PAS diserang hebat oleh Umno-BN melalui media-media mereka. Mengapa terjadi demikian? Apakah kerana PAS semakin mantap hari ini dengan pelbagai pembaharuan dan konsep Negara Berkebajikan yang ditampilkan? Untuk menjawab persoalan itu, Wartawan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB, SAADON AKHSAH MOHD SHAFRI SHAMSUDIN bersama Jurugambar WAN ZAHARI WAN SALLEH bertemu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabatnya dekat sini 23 Jun lalu. Ikuti wawancara berikut.

HARAKAH: Umno seolah-olah terpukul dengan Negara Berkebajikan. Mereka membuat berbagaibagai telahan negatif yang kononnya Negara Berkebajikan PAS mempunyai kecacatan dan pelbagai lagi dibuat. Pada pandangan Dato’ Seri mengapa Umno sedemikian?

DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG: Alhamdulillah, tema yang kami bentangkan dalam muktamar yang lalu, ‘Negara Berkebajikan’ mendapat respon yang positif daripada pemerhati politik Islam dan bukan Islam dan menunjukkan kegelabahan Umno dalam respon mereka apabila pemimpin Umno membuat kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain. Ada menyatakan PAS sudah menyeleweng daripada landasan dan matlamat perjuangan Islamnya. Ada yang menyatakan PAS meniru Umno. Kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain.