Khamis, 30 September 2010

pak teh kembali ke rahmatullah

Pengasas Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah atau lebih dikenali Pondok Pak Teh, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.
Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan pusat pengajian pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pondoknya pernah menjadi kontroversi. Setelah 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah seluas 45 hektar untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelum itu tetapi tidak diluluskan.

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu.
Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959.
Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.
Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam.
Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.
Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang.
Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun, bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab.
Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan sistem pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi. Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah), Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah) dan Matan Majmuk Azhari.
Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermat dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para rasul dan nabi, syuhada dan solihin di atas kegigihannya memperjuangkan agama Allah.

Rabu, 29 September 2010

galas, pas bersedia. bagaimana dengan kota seputih???

PAS merakamkan ucapan takziah di atas pemergian YB Che Hashim, ADUN Galas yg telah sekian lama bergelut dengan penyakit kanser yang dihadapinya. Semoga Allah mencucuri rahmat dan belas ehsan-Nya ke atas roh beliau. Mudah-mudahan seluruh ahli keluarganya bersabar di atas takdir yg berlaku ini.
Situasi ini akan membuka ruang untuk diadakan satu PRK di Galas. InsyaAllah PAS bersama PR akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan dikekalkan. Saya yakin seluruh jentera parti akan turun ke Galas bagi menjayakan hasrat ini.

PAS juga mengingatkan mahkamah untuk menyegerakan PRK Kota Seputih yg telah sekian lama dibiarkan kosong tanpa wakil rakyat. Tidak sepatutnya perkara ini terjadi. Rakyat kawasan KS dibiar tanpa mempunyai wakil yg sah. Lebih
malang apabila Mahkamah Rayuan langsung tidak memulakan proses penghakiman, dalam tempoh yg panjang dan akhirnya rakyat pun telah melupai kes yg begini penting. Kita tidak mahu ia menjadi satu perkara biasa membiarkan rakyat dalam sesuatu kawasan Parlimen atau DUN tanpa mempunyai wakilnya.

Isnin, 27 September 2010

AL-FATIHAH, ADUN GALAS MENINGGAL DUNIA

Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.

Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.

Sebelum ini beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.
Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.

beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong pada ramadhan tahun lalu. Sebelum daripada itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.

Keadaan kesihatannya agak serius sebelum daripada itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.

pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan, petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kemoterapi di sebuah hospital di China.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.

"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah,"

Sabtu, 25 September 2010

pemimpin umno takut hilang kuasa -pj-

Pesuruhjaya PAS Perak menegaskan bahawa pandangan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir Mohamad hanyalah kenyataan politik lama dengan tujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.
Beliau berpandangan sebenarnya Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno kini sudah dapat menjangkakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum ke-13 nanti.
jika umno menjadi pembangkang maka tidak ada siapa baik pemimpinnya atau pengikutnya yang sanggup menyumbangkan tenaga dan kewangan untuk pergerakan parti umno itu pada masa akan datang, serta berkemungkinan besar parti umno ini akan menjadi tidak relevan dan ditolak oleh seluruh rakyat akan kewujudannya.
Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat menteri-menteri umno yang sudah membeli tanah dan rumah di luar negara untuk menyenangkan mereka tinggal disana jika umno tidak dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang.
Sebenarnya pemimpin umno kini sentiasa berada dalam ketakutan kerana satu persatu kes-kes mereka semua akan dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan jika Pakatan Rakyat dapat megmbil alih pentadbiran kerajaan pusat.
Memetik kata-kata beliau ” Kita tahu selama ni pemimpin-pemimpin umno memperolehi duit dari pengusaha-pengusaha kilang dan syarikat-syarikat kroni mereka untuk menjana kewangan parti mereka.
Jika umno jadi pembangkang selepas ini maka tiada siapa yang sanggup beri duit pada umno ”
Beliau menyimpulkan kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir itu adalah kenyataan yang berbaur ugutan kerana Tun Mahathir sudah menjangkakan Umno berkemungkinan besar untuk kalah pada Pilihanraya umum ke 13 nanti.

Jumaat, 24 September 2010

jemputan jamuan aidil fitri pakatan rakyat perak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Sempena meraikan Syawal 1431 Hijrah,PAS Perak bersama PAKATAN RAKYAT PERAK, dengan berbesar hatinya menjemput serta mengalu-alukan kehadiran YB/Dato/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik ke Majlis Jamuan Raya Aidilfitri yang akan diadakan pada hari Ahad, 26 September 2010 bersamaan dengan 17 Syawal 1431 Hijrah. Jamuan ini akan diadakan di Perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Perak, Medan Istana Bandar Ipoh Raya . Jamuan akan diadakan mulai pukul 8.00 malam sehingga jam 11.00 malam.
Semoga keberkatan bulan syawal ini akan menambahkan kekuatan kepada kita untuk meneruskan perjuangan bagi memikul amanah rakyat dalam membawa perubahan ke arah keharmornian serta keadilan buat Negeri Perak dan Malaysia yang tercinta.
Sekian,

Ustaz Misbahul Munir Masduki
( Pengarah Jamuan Hari Raya Pakatan Rakyat Perak )



Sabtu, 18 September 2010

apa umno nak kata semua nie???

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan Umno tanpa syak lagi "berkura-kura", berpura-pura dan memutarbelitkan fakta berhubung isu bukan Islam dibenarkan memasuki surau dan masjid.

Beliau yang juga anggota biro politik PAS juga malah mendakwa pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula terus menjadi "kesinambungan wadah kepuraan Umno dalam bersandiwara"

Menulis dalam blognya hari ini, Khalid memuatkan kembali beberapa keping gambar, antaranya menunjukkan pemimpin Umno memberikan 'tazkirah'.

Terdapat juga gambar Kamalanathan - yang didakwanya digelar 'Ustaz Kamal' oleh perayu undi Umno semasa kempen pilihan raya kecil lalu - menyampaikan sumbangan dalam sebuah masjid.

Dimuatkan juga sekeping gambar Kamalanathan dalan sebuah progam gotong royong di Masjid Felda Soeharto, Hulu Selangor yang mana pengerusi MAIS didakwa turut hadir.

"Lebih hebat, 'Ustaz Kamal' bersama pengerusi MAIS menyerahkan khat tulisan kalimah Allah kepada salah seorang peserta.

"Ke mana perginya ahli parlimen berkopiah dan mereka-mereka yang lantang bersuara tempohari kononnya umat Islam telah dihina?

Sebelum ini, tindakan ahli parlimen Serdang (DAP) memasuki sebuah surau di Kajang mencetuskan perasaan tidak puas hati banyak pihak, terutamanya oleh pemimpin Umno dan BN.

MAIS malah memberikan amaran keras kepadanya ekoran tindakan itu.

Selasa, 14 September 2010

Lelaki Ini Mungkin Dibunuh Sama Macam Sosilawati & 3 Yang Lain??

Mungkinkah orang yang sama bunuh lelaki ini. Apapun tahniah buat PDRM, kelembapan anda menyebabkan ramai mangsa sudah dibunuh. Bukankah dalam prosedur siasatan anda, kes perlu diselesaikan sekurang-kurangnya sebulan..kenapa kes lelaki ini dibiarkan je ..adakah mungkin kerana dia bukan rakyat Malaysia..dan juga bukan penyokong UMNO macam Sosilawati??
Wanita India Bongkar Misteri Ladang Pembunuhan,
Isteri yang mencari suaminya, selepas jumpa peguam tertuduh pada 18 Januari..
ISTERI ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, bimbang suaminya yang hilang sejak 18 Januari lalu turut menerima nasib sama seperti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.
Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi Berita Harian, semalam, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.
"Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suami menelefon dan memberitahu beliau dijemput dua beradik itu. Mereka saling mengenali sejak 10 tahun.
"Dalam perbualan itu, selain bertanyakan khabar anak perempuan kami berusia tiga tahun, beliau juga memberitahu dua peguam terbabit akan membawanya ke ladang milik mereka di Banting.
"Keesokan harinya (19 Januari), saya cuba menghubungi telefon bimbit suami beberapa kali tetapi gagal.
"Saya bimbang keselamatan suami lalu menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang," katanya.
Muthuraja antara empat individu yang hilang sejak setahun lalu selepas berurus niaga dengan peguam bergelar Datuk di Banting.
Usharani berkata, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah.
"Dia meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu, bagaimanapun saya tidak mempedulikannya. Pada 20 Februari, saya menerima satu lagi panggilan daripada seorang yang turut memperkenalkan dirinya sebagai polis dan meminta RM1 juta untuk tujuan sama. Dia meminta RM500,000 sebagai pendahuluan.
"Saya keliru dengan kedua-dua panggilan itu dan sekali lagi hubungi pejabat pesuruhjaya di Kuala Lumpur untuk mendapat kepastian sama ada suami ditahan polis seperti didakwa, namun tiada jawapan," katanya.
Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia.
"Saya tiba di KLIA pada 8 September lalu dan membuat laporan di Balai Polis Banting. Saya turut memaklumkan suami menyebut beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam di Banting," katanya.
Difahamkan, berdasarkan maklumat Usharani itulah polis menyerbu Ladang Gadong sebelum menemui lokasi Sosilawati dan tiga rakannya dibunuh dan dibakar.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan Usharani, tetapi enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, sumber polis memberitahu nasib empat mangsa yang hilang belum dapat dipastikan, namun tidak menolak kemungkinan mereka menerima nasib seperti Sosilawati dan rakan.
"Pasukan forensik dan Jabatan Kimia masih meneruskan siasatan termasuk mencari spesimen dan bukti berkaitan empat mangsa itu.
"Suspek dipercayai menjadikan ladang mereka yang lengkap dengan chalet, blok pejabat dan rumah kelab sebagai lokasi bertemu dan memperdayakan mangsa mereka.
"Ia bukan sekadar ladang sawit dan kandang ternakan, tetapi lengkap dengan semua kemudahan. Lokasinya yang terpencil dan dikelilingi tembok setinggi dua meter menyukarkan kegiatan mereka dikesan," katanya. -BH

Isnin, 13 September 2010

Tengku faris di masyhur SULTAN Kelantan


KOTA BHARU, 13 Sept: Pemasyhuran Perlantikan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan telah selamat disempurnakan pada pagi ini di Istana Balai Besar. Pemasyuran perlantikan itu dibacakan Menteri Besar Kelantan YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Kedua.
"Bismilhhari Rahmanir Rahim; maka dengan ini adalah diisytiharkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa pada menjalankan kuasa-kuasa menurut Perkara 29 (a) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Bahagian Yang Kedua, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang bermesyuarat pada hari ini (4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan 13.9.2010, pukul 9.00 pagi) di Pejabat SUK, Kota Darunaim, Kota Bharu telah membuat keputusan bersetuju memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Pemangku Raja Kelantan waris, menjadi Raja memerintah, menaiki takhta Negeri Kelantan dan Jajahan takluknya bagi menggantikan KDYMM Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra berkuatkuasa pada hari ini 4 Syawal 1431 Hijriah bersamaan dengan 13 September 2010.
"Padanya, sekalian hamba rakyat mengaku taat setia dan kasih mesra dan kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dipohon taufiq dan hidayah ke atasnya, semoga Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Kelantan Darulnaim dan seluruh jajahan takluknya memerintah di atas takhta Kerajaan Kelantan, dan memandu negeri dan rakyat sekalian merasa aman sentosa, mewah, makmur, kebajikan serta menaungi.
Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, kerabat negeri, kepimpinan dan pegawai negeri.
 

Khamis, 9 September 2010

pas perak berpesan berhati-hati di jalan raya -pj-

BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perak, saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri 1431 Hijrah, hari kebesaran kurnia daripada Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan Allah SWT melakukan nuzul Al-Quran pada bulan Ramadan. Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa.
Dalam masa yang sama, bagi menegakkan petunjuk ini, kita berdepan dengan cabaran. Al-Quran menjadi furqan, yang membezakan di antara hak dan batil, benar dan salah. Dengan petunjuk Al-Quran, kita menegakkan yang benar, menentang perkara yang bercanggah dengan Al-Quran.
Dengan semangat tarbiah melalui Ramadan, menjadikan diri kita orang yang beriman, yang bertakwa, yang kuat, yang sanggup menghadapi cabaran selepas Ramadan dengan mendapat pertolongan daripada Allah SWT, walaupun kita dikelilingi oleh musuh-musuh yang ramai yang tidak akan memberi kesempatan kepada Islam untuk tegak semula di bumi Allah SWT ini.
Dengan takwa dan iman yang yang kuat, kita yakin semua musuh itu adalah kecil apabila kita bersama dengan Allah SWT dan Allah SWT memilih pula di bulan Ramadan berlakunya kemenangan kepada umat Islam.
Dalam peristiwa Badar, Fathul Makkah, Ain Jalut dan penawanan Kota Belgrade di Balkan pada zaman Kerajaan Othmaniah dalam keadaan orang Islam dianggap lemah tetapi hati mereka ikhlas menyumbangkan pengorbanan harta benda dan jiwa raga disertakan dengan iman yang kuat, percaya kepada Allah SWT dan percaya kepada janji Allah SWT, dunia dan akhirat. Berbekalkan perkara-perkarta itu, Allah SWT memberikan kemenangan kepada generasi awal Islam.
Saya yakin dan percaya sekiranya umat Islam di zaman kini melaksanakan contoh dan teladan tersebut, mereka juga akan diberikan kemenangan sekali lagi oleh Allah SWT.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT dan meningkatkan pengorbanan kita dalam perjuangan kita untuk meninggikan agama Allah SWT supaya agama ini tegak sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT, dalam Al Quran Karim.
Dalam masa yang sama, pada kesempatan ini, marilah kita menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain. Mereka adalah satu ummah, laksana satu jasad yang bersambung di antara satu sama lain, sama-sama memikul tanggungjawab, bertolong menolong sama ada yang berkait dengan urusan agama dan dunia.
Dalam masa yang sama, membolehkan kita menyampaikan mesej kita kepada seluruh manusia untuk menyatakan bahawa kitalah yang menyelamatkan manusia yang sebenar di dunia dan di akhirat.
Mudah-mudahan dengan semangat ini, kita berjaya menjadi seorang Islam yang diterima oleh Allah SWT dan merealisasikan apa yang diperintahkan oleh Allah, firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)
Sekian, terima kasih.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.
Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak Darul Ridzuan)

selamat hari raya 1431h -ydp-

Perutusan Aidil Fitri 1431 Hijrah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saudara/Saudari yang dirahmati Allah

Puasa Ramadan sebulan mengajar kita menjadi orang yang bertaqwa. hanya mereka yang bertaqwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk yang membawa keselamatan dan kejayaan di dunia dan di akhirat

Ingatlah firman Allah di dalam Al Qur'an surah Taha ayat 124-126- Maksudnya: Sesiapa yang berpaling (tidak mengambil petunjuk dan ajarannya) dari peringatanku maka baginya kehidupan yang sempit (sulit) dan kami himpunkan di hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata “ wahai Tuhanku! Mengapa engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta, padahal dahulu aku dapat melihat?” Allah Berfirman “ Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami (keterangan Kami), lalu engkau melupainya (tidak beramal), oleh itu di hari ini engkau dilupakan”.

Jadikanlah Ramadan yang ditinggalkan memberi pengajaran dan mendidik sehingga mengubah sikap dan akhlak kita dengan lahirnya sikap taqwa.

Marilah kita jadikan Hari Raya Aidil Fitri yang kita sambut ini, masa bersyukur dengan nikmat Islam memuji dan memuja Allah SWT. Jadikan hari raya ini untuk kita ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan antara satu sama lain. Buangkan sikap dendam mendendam kerana sikap dendam mendendam itu membawa kepada perpecahan, kelemahan dan kehancuran.

Islam tidak membenarkan kita bergaduh dan bertelingkah melampaui batasan, sehingga bekerat rotan dan berpatah arang, ingatlah Sabda Rasulullah SAW “ Janganlah kamu sekelian dengki mendengki, jangan kamu memutuskan silatur-rahim, jangan benci-membenci, jangan musuh memusuhi, tetapi jadilah kamu sekelian sebagai hamba Alllah yang bersaudara sebagaimana yang diperintah oleh Allah ke atas kamu.”

Marilah kita mengambil ruh Ramadan dam Hari Raya ini dengan mengukuhkan perpaduan dalam Jamaah , maka setiap keputusan dan arahan pimpinan hendaklah dipatuhi, walaupun keputusan pimpinan itu dianggap tidak sewajarnya dibuat begitu. Ingatlah keputusan yang dibuat oleh pimpinan mempunyai pandangan tersendiri demi untuk kepentingan dan keharmonian dalam Jamaah.

Akhir kata, sempena 1 Syawal 1431 ini saya dan AJK PAS Kawasan Teluk Intan menyusun sepuluh jari memohon ribuan kemaafan andainya ada kesalahan dan kesilapan melalui tutur kata atau tindakan yang menyinggung perasaan saudara dan saudari sekelian. Tidak lupa juga kepada semua rakan-rakan Dewan Himpunan Penyokong PAS Teluk Intan serta rakan-rakan Pakatan Rakyat Teluk Intan iaitu PKR dan DAP semoga ikatan kita semakin kukuh.

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITRI. MAAF ZAHIR & BATIN.

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar.Walillahilhamd.

Sekian, terima kasih. Wassalam


YDP PAS Kawasan Teluk Intan
(Us Ismail che nik)

Rabu, 8 September 2010