Sabtu, 29 Januari 2011

bantah tol bantuan tol bus express

Parti Islam SeMalaysia Pas membantah langkah kerajaan  menarik balik pemberian subsidi  tol 50 peratus kepada pengusaha bas ekspres sejak 15 Januari lalu, akibatnya pengusaha bas akan menaikkan tambang,  ini  akan membebankan rakyat bawahan yang memang sedia terbeban dengan kesempitan kewangan angkara rasuah, boros dan tidak berhemah oleh pemimpin BN.
Pas mendesak  kerajaan perlu mengkaji balik tindakan menarik semula diskaun tol kerana  kepentingan rakyat berpendapatan rendah. Rakyat baru sahaja menerima bahana  kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus  kerana kenaikan harga minyak. Berapa peratus pula rakyat perlu bayar tambang dengan penarikan diskaun tol nanti.
Pas tidak mahu isu naik tambang bas ekspres, kerajaan akan marah kepada pengusaha bas. Pada hal mereka terpaksa berbuat demikian kerana kos meningkat. Pas yakin kerajaan terpaksa menarik balik diskaun tol kerana kerajaan sudah tidak ada wang, cuma berlagak macam orang kaya

Ahad, 23 Januari 2011

isu apco gegar felda di prk tenang

Felda Tenang digegarkan dengan pendedahan bukti hubungan kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional dengan APCO Worldwide bersabit isu 1 Malaysia. 
Menerusi salinan dokumen perjanjian Malaysia-APCO Worldwide, Anwar menyatakan penglibatan Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad sebagai saksi perjanjian tandatangan pegawai kerajaan Malaysia dengan syarikat perunding Israel itu. Justeru menurut beliau, penafian berterusan syarikat yang berpengkalan di Washington dan Tel Aviv oleh Perdana Menteri Najib Razak selama ini merupakan pembohongan semata-mata.

"Ada tak perjanjian? Ada. Pertama saya ada, kerajaan Israel dan Apco yang mereka kata tiada dan menteri-menteri kita nafi. Tahun 1991. Kerajaan Israel dan Apco, ini perjanjian. Kedua 2009, perjanjian kerajaan Datuk Seri Najib dengan Apco. 


"Tandantangan bukan setakat wakil kerajaan, saksinya Datuk Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, Sekretariat Akhbar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib, ini dia. No kad pengenalan pun ada, 620707015781," kata beliau di hadapan ratusan masyarakat felda yang hadir ke Markas PAS Felda Tenang malam tadi.

Jumaat, 21 Januari 2011

serba sedikit berkenaan calon prk tenang

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Normala Sudirman (gambar) diumumkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di majlis pengisytiharan calon di Dataran Wayang Pacak, 16.01.2011 yang lalu

Normala, 38 merupakan seorang guru lulusan Maktab Tuanku Bainun, Pulau Pinang sebelum meletakkan jawatan pada akhir 2010 kerana mahu menumpukan sepenuh masa kepada tugas parti.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Serom 3, Muar Johor ini merupakan anak sulung daripada lima orang adik beradik.

Bapanya, Sudirman Suratman merupakan bekas ketua peserta Felcra dan juga pengerusi koperasi Felcra Sekijang manakala ibunya Mukmini Yahya juga merupakan peneroka Felcra.

Beliau yang mesra di kalangan penduduk setempat dengan panggilan Cikgu Mala, mendirikan rumah tangga dengan Makrof Abd Mutalib dan mempunyai tiga orang anak.

Normala mula bergiat aktif dalam PAS selepas tamat pengajian di maktab pada tahun 1997.

Pada tahun 2000 beliau dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Labis.

Selain Ketua Muslimat Johor, beliau juga merupakan Exco Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kini beliau menumpukan kepada usaha membantu masyarakat Labis setelah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia pusat aduan rakyat Dun Tenang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ketua Wanita DAP, Chong Eng dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

seru semua solat hajat, blogger umno serang calon pas -idham lim-

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Tarmizi Mohd Jam dengan blognya di sanggahtoksago.blogspot hari ini di dalam satu kenyataan media telah membuat seruan kepada ahli-ahli PAS, dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang beragama Islam supaya mengadakan solat hajat bagi dijauhkan daripada sebarang fitnah jahat para blogger yang didakwanya sebagai pemfitnah atau pro-Umno/BN yang bergentayangan di alam siber.

KLToday.com melaporkan beliau
mendedahkan satu blog pro-BN iaitu Papagomo dikhabarkan sedang ligat memutarkan fitnah yang mendakwa pertemuan blogger bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat pada Sabtu lalu yang kononnya setiap blogger yang hadir diberikan wang tunai sebanyak RM500, sebuah komputer riba laptop, kemudahan percuma talian broadband dan sebuah telefon mudah alih jenama Blackberry.

Sementara itu juga, seorang pemunya laman Facebook, “Suara Dari Bumi” pula di dalam mesej facebooknya pula membuat fitnah yang mendakwa calon PAS di Tenang, Normala Sudirman (gambar bawah sebelah kanan) meninggalkan suaminya, tohmahan mempunyai skandal luar dan malah menyeru pembacanya jika ingat perkataan zina kenalah ingat PAS.

Taktik-taktik jahat ini didakwa adalah sama dengan yang dilakukan ke atas semua calon dari PR sebelum ini. Contohnya calon PAS di PRK Galas sebelum ini yang didakwa berzina dengan ibunya sendiri dan calon PKR semasa di Hulu Selangor dahulunya, Datuk Zaid Ibrahim dikaitkan dengan isu arak dan judi lumba kuda.

Semua blogger pro-PR adalah diseru melancarkan kempen alam siber mendedahkan laman dan blogger-blogger ’pemfitnah’ pro-Umno secara besar-besaran dan berterusan setiap hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekeliruan persepsi dan minda di kalangan pembaca blog dan pengunjung alam siber.

Beliau bagaimanapun, menghormati pandangan yang berbeza dengan para blogger Umno yang tulen, berhujah dengan fakta dan bukti, serta menghormati hak demokrasi di negara ini. Tetapi, blogger-blogger yang memilih cara fitnah yang saban hari mengada-ngadakan cerita patut dibanteras, dihukum dan dinyahkan dari alam siber.

Semua cawangan PAS, dewan-dewan, kawasan diseru menganjurkan solat hajat ini, kerana ia adalah lanjutan Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati Shah Alam yang diadakan baru-baru ini agar negara diselamatkan dari kekacauan dan fitnah dahsyat para blogger pemfitnah pro-Umno ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan majlis ramah-mesra dengan para blogger dan facebooker di Kuala Lumpur (gambar atas). Lebih 200 blogger pro-PR dan pro-rakyat hadir dan mereka benar-benar berpuashati dengan keraian yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan negeri. Hampir semua Exco hadir termasuklah Timbalan Menteri Besar dan Speaker Dun Kelantan.

Selasa, 18 Januari 2011

Rabu, 5 Januari 2011

minyak naik lagi... hadiah buat rakyat malaysia dari kerajaan

Adun Titi Serong, Drs. Khalil idham Lim menyifatkan tindakan kerajaan BN menaikkan harga petrol RON97 dan minyak tanah secara serentak tengah malam tadi sebagai tidak keruan dan menipu rakyat.

tindakan itu juga menjelaskan kepada rakyat bahawa slogan 'Umno dahulukan rakyat' yang mahu diperkasakan pada tahun ini hanya pembohongan semata-mata.

Beliau yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata, keadaan rakyat kini semakin terhimpit setelah berulangkali berlaku kenaikan harga barangan keperluan utama .

“Pakatan Rakyat ingin mengingatkan kepada rakyat bahawa undi BN bermaksud menempa kesengsaraan yang akan membawa kepada kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian kelak,” katanya yang juga pengerusi sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendakwa kenaikkan terbaru itu merupakan tindakan terdesak kerajaan untuk mengisi tabung Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan BN sudah kekurangan wang dan transformasi ekonomi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak menemui kegagalan.

"Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang bagi membiayai pilihan raya kecil mereka dan sumber yang menjadi mangsa mereka sudah tentulah poket Kerajaan Persekutuan sendiri,".

DPPP juga katanya,berpandangan kenaikan harga minyak dan bahan mentah di pasaran bukan ditentukan oleh harga pasaran minyak dunia, kedudukan ekonomi negara, kemampuan serta keperluan rakyat, tetapi sebenarnya banyak ditentukan oleh pilihan raya dan keperluan Barisan Nasional.

"Di kala mereka mempersenda janji Pakatan Rakyat yang cuba membantu dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN terus mencekik dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat,"

Sehubungan itu, DPPP menyeru rakyat khususnya golongan muda menolak BN dalam pilihan raya kecil Dun Tenang dan pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan raya DUN Tenang, peluang rakyat memberikan amaran kepada Kerajaan yang zalim ini agar tidak terus menerus menzalimi dan menindas kehidupan rakyat dengan memberikan undi dan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat,"

Harga petrol RON97 naik sebanyak 10 sen menjadikannya kepada RM2.40 seliter manakala minyak tanah kepada RM2.50 seliter berkuat kuasa hari ini.

Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Dis lalu, menjadikan RM2.30 seliter.