Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah SAW telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.
Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini. Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas. Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan maal hijrah ini tidak disuruh oleh Nabi SAW, tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)
1 Muharam 1432 H bersamaan 7 Disember 2010