Jumaat, 17 Disember 2010

adun tenang meninggal dunia - pas johor ucap takziah

PAS Negeri Johor mengucapkan takziah kepada keluarga Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha (gambar) yang meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang pada jam 1.10 pagi tadi. Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berharap keluarga allahyarham bersabar menerima ketentuan Allah itu sebagai satu ujian.
“Saya mewakili pemimpin dan ahli PAS Johor mengucapkan takziah banyak-banyak kepada keluarga allahyarham, sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Allahyarham Sulaiman dimasukkan ke Hospital Segamat pada 23 November lalu kerana demam dan tidak sedap badan sebelum dipindahkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri.
Allahyarham kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan sejak 24 November lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.
Allahyarham yang juga ketua Umno Labis meninggalkan isteri Datin Noraini Yaakop, enam anak perempuan dan seorang lelaki.