Ahad, 15 Mei 2011

najib takut buku jingga

Laporan Malaysiakini bahawa Pejabat Perdana Menteri memberikan arahan khas kepada, Utusan Malaysia, menghentam rancangan 100 hari Pakatan Rakyat jelas membuktikan bahawa Datuk Seri Najib Razak sebenarnya takut dan terancam.

Biarpun sebelum ini Perdana Menteri itu dan pemimpin Umno BN lain mendakwa rancangan yang dimuatkan dalam Buku Jingga itu bersifat populis, namun arahan kepada akhbar Umno untuk menghentamnya mendedahkan sebaliknya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad ketika diminta mengulas kenapa Najib dan pemimpin Umno BN begitu takut dengan rancangan 100 Pakatan itu, beliau berkata ia kerana buku jingga itu adalah penyelesaian praktikal untuk krisis dan kemelut sosio-politiko-ekonomi negara.

"Secara tepat saya tak tahu. Mereka lebih tahu. Yang jelas bagi kami, Buku Jingga adalah respons dan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari krisis dan kemelut sosio-politiko-ekonomi yang berpanjangan. Ianya menampilkan satu persaingan dasar dan polisi sebagai adalah penyelesaian alternatif.

"Betul ia adalah dokumen kecil, tetapi ia mengandungi penegasan dasar, pendekatan strategik," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malaysiakini semalam mendedahkan Utusan Malaysia diberikan arahan khas untuk menghentam rancangan 100 hari Pakatan Rakyat yang disenaraikan dalam Buku Jingga sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Laporan itu yang memetik satu sumber itu mendakwa, arahan daripada Pejabat Perdana Menteri itu dikesan melalui nota seorang wartawan kanan kepada kepada pengarang dan pembantu pengarang berita Utusan Malaysia yang diletakkan dalam 'satu sistem' akhbar itu pada 21 Mac lalu.

Sehubungan itu, semua akhbar, terutamanya Utusan Malaysia, diminta mendapatkan komen pelbagai pihak, antaranya pemimpin parti komponen BN, penganalisis ekonomi dan tokoh akademik, bagi menyokong kenyataan Najib itu.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata perbezaan ketara dasar Pakatan dengan BN yang ditonjolkan dalam Buku Jingga itu ialah “Political Economy” atau “keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi”.

Tegasnya ia adalah disiplin atau bidang ekonomi yang membicarakan bagaimana keputusan politik mempengaruhi bidang ekonomi atau dengan kata lain mudahnya “Perubahan Ekonomi atau ‘Economic Changes’ hanya akan dapat dipacu dan direalisasikan dengan bersekali melakukan sesebuah kerajaan melakukan ‘Reformasi Politik’.

Katanya, selagi BN memerintah dengan dasarnya, penambahbaikan ekonomi negara tidak akan terlaksana dan rakyat akan terus tersepit dengan pelbagai masalah ekonomi.

"Ini pendekatan kami dan amat ketara kalau kita buka di muka surat 21, dalam 10 program 100 Hari Program Buku Jingga. Program 1 (reformasi institusi kritikal SPRM, SPRM, MCMC dll) dan 2 (bersabit dgn pemansuhan undang draconian ISA, OSA) dari 10 program 100 hari," katanya memberi contoh tawaran yang langsung tiada kaitan dengan ekonomi.

Beliau juga berkata pendekatan itu tidak sama dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Entry Point Projects (EPP) Najib yang disifatkan sebagai 'Pump-Priming' yang sehingga kini menelan pelaburan RM106 bilion, sedangkan rakyat tidak langsung menerima faedahnya.

Selain tidak merasai kesannya kepada rakyat, pendekatan itu juga gagal meningkatkan pendapatan per kapita negara dan juga tidak menyelesaikan isu jurang pendapatan kaya dan miskin.

"Seluruh program 100 Hari kami itu kalau dilaksanakan tak sampai pun menelan RM19 bilion,".

Beliau turut mempersoal Model Ekonomi Baru (NEM) yang sehingga kini tidak boleh dilaksanakan ekoran wujud penentangan dari kalangan Umno sendiri, termasuk Perkasa dan kelompok Ultra-Melayu Umno.

"Tetapi kami dalam Pakatan Rakyat tidak ada kekangan seperti itu, sebab dasar-dasar kami kami diputuskan bersama dalam muafakat politik Pakatan,".