Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (Polis)) dapat membuang sikap tidak profesional ketika menjalankan tugas. Ini kerana melihatkan tindak-tanduk mereka yang kebelakangan ini jelas berpihak kepada kerajaan pemerintah sedangkan sepatutnya mereka harus adil dalam menjalankan tugas masing-masing.
Tindakan SPR ketika Pilihanraya Kecil P212 Sibu (PRK P212) yang enggan mengeluarkan Borang 15 iaitu dokumen yang mengesahkan keputusan rasmi undi pos serta melewat-lewatkan keputusan undi pos juga dilihat semacam ada ‘sesuatu’ yang cuba dilakukan bagi memenangkan Barisan Nasional (BN). Begitu juga dengan tindakan SPR ketika Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor (PRK P094) yang telah memindahkan sejumlah 1,402 pengundi atas dasar sempadanan semula jelas mempamerkan sikap SPR yang seakan menjadi ‘alat’ kepada UMNO/Barisan Nasional (BN).
Polis pula yang sudah banyak terpalit dengan isu-isu yang boleh mencabar imej mereka sebelum ini, mengeruhkan lagi hubungan dengan rakyat marhaen dengan menghalang Perhimpunan Aman Judi Bola Dan Konsert 12jam di Masjid Jamek Kg.Baru jumaat lepas. Tidak cukup dengan menghalang malah bertindak memukul peserta demontrasi yang pada asalnya berlangsung dalam suasana aman yang kemudiannya bertukar menjadi ganas akibat campurtangan pihak Polis.
DPPP merasakan sudah sampai masanya pihak-pihak yang sepatutnya bertugas dengan adil tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir luar dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih profesional serta telus dan membuang perangai ‘kebudak-budakkan’. DPPP berharap agar pihak berkenaan bertindak berlandaskan undang-undang bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak demi untuk kepentingan politik semata.
HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT