Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain tidak menolak kemungkinan tindakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan desas-desus umum bahawa satu pilihan raya mengejut akan diadakan peringkat negeri sebagai kenyataan berunsur politik semata-mata.
“Ini (kenyataan Husni) adalah kenyataan politik Datuk Ahmad Husni saja kerana mungkin mereka masih teragak-agak untuk membuat pilihan raya kecil peringkat negeri dalam masa terdekat ini,” tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.
Sekiranya desas-desus tersebut adalah sesuatu yang sahih, beliau berkata, hasrat Umno/BN mengadakan pilihan raya mengejut itu sekaligus memberi isyarat kepada rakyat bahawa mereka tidak berupaya berdepan dengan rakyat yang kian sedar dengan amalan tidak demokratik mereka sebelum ini.
“Walaupun Mahkamah Persekutuan tidak menyebelahi Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Umno/BN nampaknya seperti tidak berupaya meneruskan pemerintahan ini lagi.
“Mungkin disebabkan mereka (Umno BN) sedar yang rakyat anggap kerajaan sekarang kerajaan kudeta, maka mereka terpaksa membuat persiapan (pilihan raya) ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, inisiatif Umno/BN melaksanakan pilihan raya mengejut itu mungkin disebabkan tidak berupaya menghadapi beberapa isu berbangkit yang dilihat tidak menguntungkan mereka.
“Tahap pelaburan yang menguncup, isu Speaker Sivakumar yang diheret keluar dari Dewan (Undangan Negeri), tiga katak (Adun Bebas) yang masih belum selesai, sebab itu mereka kena buat pilihan raya secepat yang boleh,” jelasnya.
“Kalau mereka tunggu sehingga PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13), mungkin juga mereka khuatir bahawa majoriti ahli Umno sendiri tidak berminat menyokong disebabkan itu.”
Ditanya tentang tahap persiapan PAS di peringkat negeri pula, beliau menjelaskan bahawa PAS serta Pakatan Rakyat sekarang sedang memperkukuh persiapan perjenteraan berbaki secara sepadu sejak 9 Februari lalu, iaitu tarikh Nizar mencabar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir supaya membubarkan Dun Perak.
Persiapan perjenteraan tersebut, menurut Abu Bakar, termasuk menjelaskan tentang rekod kejayaan kerajaan era Pakatan Rakyat secara rasional dan sederhana kepada rakyat, termasuk kepada para pemimpin Umno tempatan.
Semalam, dilaporkan Husni turut mengingatkan kesemua parti komponen BN supaya membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil peringkat negeri Perak yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.
Manakala desas-desus yang mengatakan Perak akan menghadapi suatu pilihan raya mengejut itu berlaku ekoran Timbalan Presiden bagi sebuah parti komponen BN dilaporkan menyerahkan senarai nama calon dari parti itu kepada Zambry dalam suatu pertemuan sulit di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Ipoh.
Sumber dalaman parti tersebut dilaporkan berkata, pilihanr aya mengejut akan diadakan pada September tahun ini.