Sabtu, 13 Mac 2010

mohsin tetap khianat rakyat -tidak akan kosongkan kerusi mp bagan serai

Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan mengosongkan kerusi parlimen berkenaan walaupun ada pihak dalam pakatan pembangkang mendesaknya berbuat demikian.

Menurut Mohsin, beliau tidak terfikir untuk mengosongkan kerusinya dan sebaliknya akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat bebas sehingga pilihan raya umum yang akan datang.

Pada 3 Mac lalu, Mohsin mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas kerana mendakwa berlakunya 'politiking' melampau dalam PKR yang gagal dikawal oleh penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pilihan raya umum pun tidak lama lagi, saya akan tunggu dan menghabiskan penggal perkhidmatan saya," katanya kepada pemberita di Ipoh hari ini.

"Lagi pun apa perlunya saya meletak jawatan kerana saya masih lagi ahli Parlimen mereka...tidak ada salahnya kerana saya masih berkhidmat untuk mereka (pengundi Bagan Serai)," katanya.

Mohsin Fadzli berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) akan sentiasa mengalu-alukan jika beliau berhasrat menyertai parti komponen BN.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohsin Fadzli, yang pertama kali bertanding, mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin daripada Umno dengan majoriti 3,413 undi.