Senaskhah al-Quran bersaiz dua sentimeter iaitu sebesar ibu jari seorang dewasa dan dipercayai antara yang terkecil pernah ditemui, kini dalam simpanan seorang pengusaha stesen minyak, Abdul Malik Abdul Rahim.
Abdul Malik, 37, yang menetap di Selama, Perak, berkata beliau mendapat al-Quran itu daripada seorang pemuda yang tidak dikenali ketika melancong bersama keluarganya ke Bukit Kayu Hitam Kedah pada 1991.
Menyingkap kembali kisah penemuannya itu, Abdul Malik yang pada masa itu masih belajar di tingkatan enam, berkata bahawa pemuda berkenaan yang berada di sebelah pagar sempadan Thailand, memanggil beliau dan terus memberinya sesuatu, dengan menyebut "Quran, Quran".
Beliau terperanjat apabila mendapati al-Quran berkenaan yang lengkap mengandungi 30 Juzuk begitu kecil.
Abdul Malik berkata beliau tidak mendapat sebarang mimpi sebelum atau selepas menerima naskhah al-Quran itu.
"Namun, sejak memiliki al-Quran itu, sumber rezeki saya bertambah. Alhamdullillah," katanya.
Abdul Malik berkata beliau tidak pernah menerima sebarang tawaran daripada sesiapa untuk membeli naskhah itu tetapi jika adapun, beliau tidak akan menjualnya.
"Saya lebih suka menyimpannya untuk tatapan keluarga dan generasi akan datang," katanya.
Abdul Malik berkata beliau sedia memberi kerjasama sekiranya ada pihak ingin menjalankan kajian.
Katanya untuk membaca al-Quran itu memerlukan alat khas seperti kanta kerana tulisan ayatnya amat halus.