TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT TUAN GURU DATUK MENTERI BESAR KELANTANSEMPENA MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN MATA WANG SYARIAHEMAS DINAR & PERAK DIRHAM KELANTAN
PADA : 2 RAMADHAN 1431H / 12 OGOS 2010M
BERTEMPAT DI PUSAT DAGANGAN KELANTAN,KOTA BHARU, KELANTAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِوَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا فِيهِ مِنَ الزَّاهِدِينَ (20)- يوسف
Yang bermaksud : Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, yaitu beberapa dirham saja, dan mereka merasa tidak tertarik hatinya kepada Yusuf
Alhamdulillah, kita lafazkan setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah S.W.T. yang telah mengizinkan kita semua untuk berada di dalam Majlis Perasmian Pelancaran Matawang Syariah Emas Dinar & Perak Dirham Kelantan ini. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak urusetia di atas pelancaran ini yang saya anggap satu kejayaan besar di dalam merintis jalan mengembalikan kekuatan ekonomi ummah. Ucapan terima kasih saya rakamkan kerana diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan dan amanat pada majlis perasmian ini.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.
Dinar emas merupakan mata wang berasaskan emas yang dicadangkan digunakan di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam. Istilah ini dipilih kerana berteraskan mata wang Islam yang pernah digunakan di negara Madinah al-Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad lagi, iaitu dinar.
Di dalam sejarah, wang dalam pelbagai bentuknya sebagai alat tukaran di dalam jual beli telah dikenali ribuan tahun yang lalu seperti dalam sejarah Mesir kuno sekitar 4000 tahun sebelum masehi. Sekalipun pada masa itu sistem barter trade dianggap sebagai sistem yang utama, namun sistem mata wang yang diperkenalkan tidaklah menjadi satu budaya yang asing. Ayat yang telah saya bacakan tadi menunjukkan bagaimana kisah Nabi Yusuf alahissalam di Mesir yang telah dijual oleh para pedagang dengan hanya beberapa dirham. Perkataan dirham itu membuktikan bahawa mata wang telah wujud semenjak pada zaman itu lagi.
Wang emas dan perak pula diperkenalkan oleh Julias Caesar dari Romawi sekitar tahun 46 sebelum masehi. Pada masa itu, standard tukarannya di antara wang emas dan perak ialah dengan nisbah 12 : 1. Penggunaan wang emas dan perak ini telah menjadi satu alternatif kepada sistem barter trade iaitu tukaran barang dengan barang. Jika di masyarakat Romawi pada masa itu lebih cenderung menggunakan wang dinar, di sebelah parsi pula wang dirham digunakan secara meluas. Kedua-duanya digunakan oleh orang-orang Arab Jahiliyyah yang terkenal dengan sifat rajin berniaga.
Firman Allah SWT :لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ (1) إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ (2) فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ (3) الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآَمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ (4)
Yang bermaksud : Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan.
Di zaman Rasulullah SAW, sistem jual beli semuanya berasaskan kepada dinar dan dirham. Ia diperluaskan lagi pada zaman Khulafa Al Rasyidin yang tersebar dari Afrika Utara, Andalusia hinggalah ke Bukhara, Delhi dan Asia Tenggara kemudiannya sehingga ke Kepulauan Tanah Melayu di era kesultanan Melayu Melaka. Ini membuktikan dinar dan dirham yang berteraskan emas dan perak ini merupakan mata wang yang paling stabil pernah digunakan oleh umat manusia.
Daripada awal tamadun Islam sehingga hari ini, nilai emas dan perak sangat stabil serta sangat menarik perhatian. Seekor ayam berharga 1 dirham ketika zaman Nabi Muhammad SAW, zaman perkembangan Islam negeri Arab serta zaman ketamadunan khalifah Islam; hari ini seekor ayam masih berharga 1 dirham dikebanyakan tempat di seluruh dunia apabila dibandingkan dengan nilai harga ayam runcit semasa. Ini sekaligus menunjukkan inflasi sifar dalam jangka masa 1400 tahun. Di dalam al-Quran juga dinyatakan kisah ashabul kahfi yang menggunakan wang perak untuk membeli makanan selepas tersedar dari tidur.
Firman Allah SWT :فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا – سورة الكهف، 19
Yang bermaksud : Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik, Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorangpun.
Di dalam ayat ini, diceritakan bagaimana pemuda-pemuda ini yang telah ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun di dalam sebuah gua telah mengutuskan salah seorang rakan mereka untuk membeli makanan dengan membawa wang perak. Dalam erti kata lain, di dalam masa 309 tahun, wang perak yang digunakan masih stabil dan mampu digunakan bagi membeli makanan untuk beberapa orang. Inilah bukti bagaimana dinar yang berasaskan emas dan dirham yang berasaskan perak mempunyai nilai yang stabil dan selamat dari inflasi. Ini berbeza dengan wang kertas. Sesuatu yang dapat dibeli dengan nilaian RM30 misalnya 50 tahun yang lepas sudah tidak boleh dibeli dengan nilaian yang sama pada hari ini.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Bagaimanapun, penggunaan wang dinar dan diirham ini gagal diteruskan dengan kemerosotan empayar Islam pada abad ke 13 Masehi. Hadirnya penjajah yang membawa misi God, Glory and Gold iaitu agama, tanah jajahan dan kekayaan mengakibatkan umat Islam berjaya digoncangkan pegangan mereka terhadap agamanya sendiri lalu tinggallah Islam sebagai agama yang disebut di dalam masjid dan madrasah semata-mata dan tidak lagi didaulatkan sebagai syariat yang memerintah. Nilai jatidiri yang merosot menyebabkan mereka bergantung dengan penjajah di dalam mengatur urusan ekonomi. Apabila tidak wujud pergantungan dengan Allah SWT dan mengenepikan syariat sendiri, umat Islam menjadi umat yang putus hubungannya dengan Allah. Bagaikan layang-layang yang putus talinya, mungkin ia terbang tinggi tetapi dengan cepatnya ia akan terhempas jatuh ke tanah.
Antara implikasi yang paling ketara dengan kehadiran penjajah ialah memperkenalkan sistem wang kertas yang kononnya disandarkan pada nilaian emas. Hasilnya, seluruh manusia di dunia diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa besar untuk mempercayai nilai yang ada pada sekeping kertas. Kertas tersebut hakikatnya langsung tidak mempunyai sandaran yang didakwa. Jika kita menaiki bas atau keretapi contohnya, kita membayar dan diberikan resit. Resit tersebut ialah tanda kita telah membayar kepada perkhidmatan yang diberikan, ertinya resit tersebut tidak mempunyai nilai, apa yang bernilai ialah bayaran yang diberikan. Hari ini, bank mengeluarkan wang kertas tanpa sebarang sandaran nilai.
Wang kertas yang hanya dinilai mengikut keadaan ekonomi semasa sesebuah negara dan ini sebenarnya lebih teruk dari bas dan keretapi tadi. Hakikatnya matawang tidak berharga melainkan jika Kerajaan memberi nilai kepadanya. Wang kertas RM1.00 bukan bernilai RM1.00 daripada segi harga kertasnya. Ia bernilai RM1.00 kerana itulah nilai yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jika Kerajaan mencetak angka lima atau sepuluh maka nilai kertasnya tidak naik kepada RM5.00 atau RM10.00.
Hanya pengakuan dan jaminan Kerajaan yang menjadikannya bernilai sebanyak mana yang ditentukan. Itulah hakikatnya wang kertas. Kebebasan mencetak wang kertas ini menyebabkan berlakunya inflasi apabila dikeluarkan dengan banyak tanpa kawalan. Ia juga mengakibatkan berleluasanya amalan riba serta terdedah kepada aktiviti manipulasi dan gharar yang jelas dilarang oleh Islam. Dari sudut yang lain, wang kertas inilah yang menjadi talian hayat kepada kapitalis untuk terus berkuasa dan menindas ekonomi umat Islam. Di dalam sejarah, Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Richard Nixon pada tahun 1971 telah memungkiri janji apabila mencetak dollar dengan tidak bersandarkan kepada emas untuk menyelamatkan negaranya yang hampir bangkrap.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, kita di Kelantan menyedari betapa perlunya kekuatan ekonomi umat Islam ini dikembalikan. Pertama untuk mendapat keredhaan Allah SWT dan kedua untuk kesejahteraan seluruh umat manusia agar hidup aman damai tanpa sebarang penindasan ekonomi. Kita mulakan di Kelantan dengan mengarahkan wang kerajaan yang disimpan di dalam bank riba dipindahkan masuk ke dalam perbankan Islam. Langkah ini untuk mengelakkan wang kerajaan terlibat dengan unsur-unsur riba. Kita turut perkenalkan al-Rahn sebagai tempat untuk menerima barang gadaian dengan tidak mengenakan riba.
Kita juga mempelopori langkah tidak mengenakan sebarang faedah kepada kakitangan kerajaan negeri yang membuat pinjaman. Semuanya ini dibuat dengan penuh rasa yakin kepada Allah SWT dan sehingga hari ini alhamdulillah kita tidak menghadapi sebarang masalah. Hari ini kita telah maju setapak lagi di dalam usaha mengembalikan kekuatan ekonomi ummah dengan melancarkan mata wang syariah dinar emas dan perak dirham Kelantan. Saya difahamkan usaha penggunaan mata wang syariah ini akan diperluaskan dengan pembayaran zakat melalui dinar dan dirham. Di samping itu, saya dimaklumkan terdapat lebih 1000 buah kedai di sekitar bandar Kota Bharu yang sedia berurusan dengan pelanggan dengan menggunakan mata wang syariah dinar emas dan perak dirham yang dilancarkan hari ini.
Selain itu, pihak kerajaan akan melantik ejen jual beli yang beroperasi seperti money changer bagi memudahkan urusan tukaran mata wang ringgit dan mata wang syariah. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat. Sekalipun mungkin usaha ini dipandang kecil, tetapi ia tetap merupakan satu permulaan yang baik untuk mengembalikan kesedaran ummah keseluruhannya.
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah di atas perasmian pelancaran matawang syariah emas dinar dan perak dirham ini khususnya kepada YB Dato' Haji Husam bin Musa yang merupakan penggerak utama terhadap usaha ini. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah SWT :
أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
-