Isu Hudud dan Negara Islam akan sentiasa menjadi polimik antara PAS dan DAP khususnya, selagi kefahaman dan penghayatannya tidak dilaksanakan. Persoalan utama ialah memahami dasar perjuangan PAS, yang berteraskan Dasar Islam. Sebagai umat Islam, melaksanakan perintah Allah adalah satu kewajipan yang dituntut oleh syarak. Kerana itu, bagi PAS melaksanakan hukum hudud, qisas dan takzir adalah satu kewajipan bagi pemerintahan Islam.
Oleh kerana UMNO yang memerintah lebih 50 tahun tidak melaksanakannya, maka timbullah tanggapan di kalangan orang bukan Islam, bahawa perlaksanaannya tidaklah menjadi tuntutan. Lantaran itu, kami jelaskan bahawa UMNO mengabaikan kewajipan yang sepatutnya mereka sebagai pemerintah melaksanakannya. Pengabaian ini menyebabkan timbulnya pertembungan antara PAS dan UMNO hingga kini. Asas kepada penentangan ini ialah UMNO mengabaikan kewajipan agama, yang telah difardhukan oleh Allah, manakala PAS berjuang agar kewajipan ini dilaksanakan.
PAS menekankan bahawa manusia adalah milik Allah, dan begitu juga bumi adalah milik Allah. Maka sebagai hamba Allah, kita mesti melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Sekiranya perintah dan larangan Allah diabaikan, pasti akan mengakibatkan timbulnya pelbagai kegawatan dalam masyarakat manusia.
Hari ini kita terpaksa menerima hakikat gagalnya sistem perundangan mengawal pelbagai kepincangan yang berlaku. Peningkatan kadar jenayah, pembunuhan, pembuangan bayi, dadah, perzinaan, kes kecurian, penderaan dan lainnya telah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan.
Manifestasi kegagalan ini boleh dilihat dengan indeks jenayah yang meningkat, penjara-penjara yang terpaksa menampung penjenayah yang di luar kouta yang dibenarkan, pusat-pusat serenti yang sentiasa bertambah, bahkan kini ada cadangan sekolah khas bagi ibu mengandung, pemberian jarum suntikan dan bekalan dadah sentatik kepada penagih dadah. Semuanya ini adalah gambaran gagalnya sistem ciptaan manusia, bahkan ianya membebankan negara.
Hudud, adalah sebahagian daripada perundangan Islam. Umat Islam yang menerima Islam sebagai agama bermakna menerima seluruh sistem yang ada dalam Islam. Allah menegaskan “Wahai orang yang beriman, masuklah ( terimalah ) seluruh ajaran Islam, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan."
Oleh kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam, maka golongan bukan Islam tidak terikat dengan sistem dan perundangan Islam. Contohnya mahkamah syariah, ianya hanya membicarakan kesalahan di kalangan orang Islam, manakala orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah mahkamah syariah, walaupun kini ianya tidak melibatkan kes-kes jenayah. Umpamanya kalau ada kes khalwat, hanya pesalah Islam dihukum, sedangkan pesalah bukan Islam tidak dihukum.
Meneliti peningkatan kes jenayah kini, yang majoritinya umat Islam, maka sangat penting ditekan agar umat Islam yang melanggar batas larangan syarak dapat dibimbing ke arah kehidupan positif lagi bermakna bagi negara. Hukum adalah sebahagian dari pada proses mendidik manusia agar menjadi warganegara yang berguna. Namun seandainya hukum yang ada gagal mengawal jenayah, bahkan ianya tidak menakutkan penjenayah bagi mengulagi jenayah di lakukan, bermakna kita sebenarnya gagal dalam membentuk satu sistem perundangan yang tepat.
Sebagai warga negara kita tentulah sangat inginkan sebuah negara yang aman, bebas daripada jenayah, pemimpin dan rakyat dapat membentuk satu kehidupan yang harmoni, golongan yang kaya tidak bimbang keselamatan hartanya daripada dicuri, anak-anak boleh bebas keluar dari rumah; dan ibu bapa tidak lagi bimbang keselamatan anak dari dirogol, diculik, diperdagangkan bahkan mungkin dibunuh.
Negara Islam.
Senaraikan bentuk negara terbaik yang anda inginkan samada ciri pemimpinnya, sistem pemerintahannya, tanggungjawab rakyat kepada pemimpin dan sebaliknya kewajipan pemimpin kepada rakyatnya serta bentuk kemajuan negara yang ideal bagi anda. Saya katakan itulah negara Islam. Sayangnya negara Islam kehilangan model sebenar, sehingga pelbagai persepsi timbul dalam pemikiran masyarakat, khusunya bagi masyarakat bukan Islam. Apakah bentuknya seperti negara Taliban di Afganistán, atau negara Iraq di era Saddam dan kini, atau Saudi yang majoritinya umat Islam. Kehilangan model ini menyebabkan timbul kebimbangan terhadap apakah bentuk negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.
Dengan kemenangan PAS di Kelantan memerintah selama 20 tahun, apakah ada sesuatu yang menakutkan orang bukan Islam untuk mendiami negeri tersebut? Selama 20 tahun pemerintahan, Kelantan bebas dari pemimpin rasuah, berbanding sepenggal jadi MB bagi negeri UMNO/BN. Kehidupan pemimpin yang sederhana, rakyat meneruskan aktiviti ekonomi dengan baik, agihan kekayaan yang sampai kepada rakyat sehingga Kelantan mampu memulakan negeri berkebajikan mendahului negeri-negeri lain dalam keadaan sebuah negeri yang miskin, dengan tekanan politik dan ekonomi yang berterusan.
Bayangkan kalau negara kita ini dengan hasil minyaknya, gas, kelapa sawit, getah, bijih besi, emas dan pelbagai sumber kekayaan yang lain, tentulah kita mampu menjadikan negara ini sebuah negara yang makmur dan kehidupan rakyatnya yang mewah.
Bagi PAS nama negara tidak penting samada kita menerima negara Islam atau apa jua nama yang sesuai, kerana yang penting ialah ciri-ciri negara tersebut yang tidak bertentangan dengan nilai Ilahi. UMNO di era Tun Mahathir juga mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Namun ianya dipenuhi dengan rasuah, penyelewengan, salah urus tadbir, ketirisan yang semakin membesar, bahkan tindakan melindung pemimpin yang terlibat dengan skandal rasuah sangat mengaibkan bagi sebuah ‘negara Islam’.
Kita boleh mengekalkan bentuk negara yang ada dengan menguatkuasakan perundangan bagi membina sebuah negara yang bermoral. Membasmi rasuah dan penyelewengan, salah guna kuasa, dan lainnya. Bagi orang Islam mereka terikat dengan sistem perundangan Islam, manakala bagi golongan bukan Islam, mereka juga terikat dengan sistem perundangan sivil yang ada. Kerana bagi umat Islam, pemimpin mestilah yang paling tinggi akhlaknya, mampu menjadi model kepada rakyat, bertaqwa dan tidak fasiq, mampu melaksanakan keadilan kepada semua, memberi hak kepada yang berhak dan mengambil hak bagi yang tidak berhak, dan mengekalkan seluruh kebaikan dalam sistem pemerintahan negara.
Negara sekular bertentangan dengan bentuk negara Islam, kerana sistem sekular bermakna pemisahan negara dengan agama. Bagi PAS, menerima Islam bermakna menerima seluruh sistem Islam, bukan hanya menerima dalam persoalan peribadi, dan tidak menerima Islam dalam aspek lainnya. Contohnya nilai haram bagi rasuah lebih tinggi nilainya berbanding bersalah dalam sistem sekular. Rasuah menyebabkan pelakunya dihumban ke neraka , walaupun mungkin dia terlepas di dunia. Demikian juga riba’ bagi umat Islam menyebabkan mereka kekal dalam neraka selama-lamanya berbanding ‘bersalah’ dalam sistem sekular. Rasa gerun ini perlu dididik agar mereka lebih takut kepada Allah dari undang-undang dunia.
Lantaran itu dalam proses membina negara ke arah lebih baik, apa jua sistem yang mampu membina negara, maka kita mesti menerima dan malaksanakannya. Maka bagi umat Islam, yang terbaik ialah sistem yang diturunkan oleh Allah berbanding sistem ciptaan manusia.