Rabu, 2 Jun 2010

MCA bantah budaya umno pandang ke belakang!!!



MCA kesal dengan keputusan kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan pengguna yang mewajibkan peniaga memiliki lesen runcit untuk menjual barangan terkawal, berkuatkuasa serta merta.

Timbalan presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah mewajibkan lesen bagi menjual barangan terkawal seperti gula, tepung dan minyak masak, tidak akan dapat menangani perbuatan menyorok barangan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, MCA mengalu-alukan niat baik peraturan tersebut untuk menghalang perbuatan peniaga menyorok dan menyeludup barangan terkawal serta mengawal pembelian panik di kalangan pengguna.

Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut dikuatkuasa tanpa terlebih dahulu berbincang dengan pihak peniaga yang sebahagian besarnya pemilik kedai runcit, sedangkan merekalah yang akan teruk terjejas.

Oleh itu, katanya, adalah lebih sesuai diadakan sesi dialog dengan pihak-pihak terbabit untuk mencari jalan bagi mengelak perbuatan menyorok barangan terkawal.

"Jika dasar ini dilaksanakan serta merta, ia akan menambah beban para peniaga dan rakyat.

"Peraturan seumpama itu pernah dilaksanakan pada tahun 1950-an tetapi ditarik balik pada 1980-an kerana ianya tidak berkesan," kata Liow.

Oleh itu, katanya, memperkenalkan semula dasar itu adalah satu langkah kebelakang.

"Saya telah membangkitkan ini dalam mesyuarat kabinet hari ini," katanya

Liow berkata, MCA menggesa kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan pengguna supaya menarik balik peraturan tersebut.

Selaras dengan itu, katanya, MCA menggesa badan-badan penguatkuasa supaya meningkatkan kawalan di sempadan negara untuk menghalang penyeludupan barangan terkawal.

Di samping itu, katanya, mereka juga digesa memantau keadaan dan mengambil tindakan terhadap peniaga yang disyaki menyorok barangan terkawal.